Rabu, 24 Ogos 2011

Betulkah ?

Umi membuat satu keputusan yang paling besar dalam hidup. Antara hidup dan mati !!!
22/8 - blood test menunjukkan darah putih dah ok dan umi patut boleh kemo minggu ni. Tapi umi minta tangguh. Dr Ang ingat umi nak kemo lepas raya..tapi tak!! umi minta cuti hingga 3/10.

"Sia-sialah awak muntah selama ni. Nanti sana separuh jalan sini separuh jalan .. tak gunalah kemo selama ni.."
Puas juga umi nak terangkan pada doktor kenapa nak cuti. Dan dia sebenarnya sangat-sangat tidak bersetuju. Atas polisi doktor tak boleh paksa patient menerima rawatan...akhirnya dengan muka yang kelat dia beri juga mc sampai 3/10.

Ya Allah betulkah keputusan umi ini ? Umi harap dan berdoa agar tidak tersilap...semuanya umi buat setelah beristikharah panjang. Malah pada ketika ini pun umi masih tak berhenti berdoa dan solat istikharah.
Ya Allah..Kau permudahkanlah..jika ini jalan yang betul. Betulkanlah jika aku tersilap...sesungguhnya aku tidak mengetahui apa pun yang akan berlaku walaupun sedetik masa selepas ini...bantulah daku Ya Allah hambaMu yang lemah ini...Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui..

Umi melihat apa yang telah berlaku sebelum keputusan ini dibuat seperti satu petunjuk.
13/8 - Allah beri kakak (Ibtisam ) batuk yang teruk..akhirnya umi terpaksa bawa kakak singgah di Klinik Sulaiman Temerloh sebab dah berbotol-botol ubat batuk Misi Aiza bagi tapi tak lut. Selalunya anak-anak umi sangat serasi dengan ubat dari klinik kerjaan tapi kali ni tidak.
Di situlah segalanya bermula...

Umi terpandang premis di sebelah klinik.
B-17...ya umi tahu itulah ubat untuk kanser.. dah banyak umi baca di internet. Tapi umi bercadang mencubanya selepas tamat 6 pusingan kemoterapi.
Ringan saja tangan umi menelefon nombor yang tertera di depan premis tersebut...dan kak Ros minta umi buat blood test.

16/8- umi dah masuk wad pun tapi pagi tadi doktor kata tak leh kemo sebab darah putih tak ok.
Atuk datang ambil umi.....    ringan saja mulut umi menyuruh atuk singgah di Pharmacare ( dekat hospt. Tawakkal ) untuk buat blood test. Result akan umi ambil pada minggu depan..masa nak gi kemo semula.
Rupa-rupanya lain pula perancangan Allah.

19/8 - umi diminta datang berjumpa Prof Syed Putra di Temerloh (sebelah klinik Sulaiman tu la ).
Betapa pula dipermudahkan...umi tak perlu ambil result di KL..semuanya sudah difaxkan ke pejabat.
Setelah berbincang panjang..akhirnya umi membelanjakan RM2550 untuk semua ubat yang ada pada malam tu. Biar betul ??? Duit tu la buat modal nak ambil bibik nanti.

Bila direnung-renung...indahnya takdir yang diatur.
Betapa Allah  mempermudahkan dan memakbulkan doa-doa umi selama ini.
Dan umi rasa...tempoh rehat sebulan ini juga terselit beribu hikmah...yang wajar kita renungkan.

dengannya..
umi boleh berpuasa..harap-harap sehingga akhir Ramadan kerana umi tak pasti dapat bertemu lagikah dengan ramadan tahun depan ?
umi boleh menggandakan sedikit amal ibadat..jika kemo sudah pasti umi lembik..hanya mampu berzikir dan solat setakat terdaya
umi berpeluang berpuasa bersama abah, anak-anak dan seluruh ahli keluarga besar kita
umi sihat dan boleh membantu nenek untuk persediaan raya...buat kuih raya la !!!

Jika takdirnya dalam tempoh ini umi masih tidak sihat..umi kena ke hospital semula dan mendengar ngomelan doktor dengan keputusan yang telah umi buat ini.

Jika takdirnya dalam tempoh ini umur umi tidak panjang...umi masih bersyukur. Kerana dengan cuti ini umi dapat bersama-sama dengan semua anak-anak umi di penghujung hayat.

Jiwa raga umi sangat terseksa apabila anak-anak umi sudah berterabur sedangkan umi masih hidup. Yang di rumah tokwan..yang dengan nenek... Apakah agaknya yang akan berlaku jika umi sudah tiada??? Tak dapat nak umi bayangkan...hanya pada Allah umi berserah.

Maka nikmat Allah yang mana satukah yang mahu didustakan ???
Umi masih tidak berhenti mengharap... agar Allah beri kesembuhan pada umi. Umi reda dengan ujjan ini..
Umi masih mengharap agar Allah beri peluang untuk umi membesarkan anak-anak dengan abah.
Umi juga berdoa agar abah sentiasa sihat dan kuat untuk hadapi dugaan ini...kerana abahlah tempat umi bergantung.

Malah umi tak berhenti berdoa agar Allah merahmati keluarga kita..dunia dan akhirat. Moga kita dihimpunkan di syurgaNya yang paling istimewa..
Semoga Allah memberkati umur kita yang lalu dan  masih ada ini....
Oleh itu anak-anakku..jadilah kalian anak yang soleh dan solehah..penyejuk mata hati umi dan abah dunia akhirat.
Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Mendengar perkenankanlah...amin.