Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
14.06.2011 temujanji untuk PET Scan di Putrajaya, setelah agak lama tertangguh. Sehari sebelumnya, 13.06.2011 mak dan bapa mertuaku dijadualkan berangkat menunaikan umrah.
Subhanallah..betapa aku melihat kebesaran Allah yang mendengar dan menunaikan kata hatiku. Urusanku dipermudahkan. Balik dari KLIA kami terus chek in di Oden Homestay Putrajaya.
Proses menunggu untuk PET Scan sangat lama. Akhirnya pukul 4 ptg baru selesai semuanya. Aku dinasihatkan banyak minum air untuk mengeluarkan radioaktif yang ada dalam badan dan kuarantin 10 jam dari orang ramai.
28.06.2011- telefon dari Siti Khadijah - nurse Dr. Amin meminta aku datang ke HKL kerana result PET Scan dah keluar. Terdetik di hati kecilku...mesti ada yang tidak kena.
30.06.2011 - Sah !! Memang ada yang tak kena. Dr. Amin menjelaskan satu persatu berkenaan kanserku. Gambar jelas menunjukkan sel telah merebak di dua kawasan utama. Sekitar kawasan parotid dan tulang belakang pinggul. Terasa dunia gelap seketika. Apatah lagi bila doktor mencadangkan rawatan ditukar kepada kemoterapi.
Ada pilihan tak doktor? Dr. Amin memberi pilihan yang tak sepatutnya dipilih pun.
Radioterapi sebenarnya tidak banyak membantu untuk sel yang telah merebak sepertiku. Dr. minta aku masuk wad hari Isnin depan untuk memulakan kemoterapi. Dadaku sebak..dan aku minta tangguh..biar saya fikir dulu dr.
Nak fikir apa ? tanya dr.
Saya nak fikir dulu dr. nanti saya call semula... Aku tidak boleh membuat keputusan. Dadaku sebak.
Kemoterapi....??? Maknanya sudah stage 4. Walaupun dr. tak cakap..aku tak ingin bertanya...tapi aku tahu berdasarkan bacaan di internet.
Ya Allah.... aku ingin solat istikharah...mohon petunjuk dari Allah jika itu adalah jalan yang terbaik buatku.
Lepas jumpa dr. aku mengajak suami shopping di Jalan Masjid India. Kami meronda-ronda mencari baju raya anak-anak. Tapi sebenarnya...hatiku tidak gembira...semua baju/kain yang dijual ku pandang sepi. Tak de mood. Akhirnya aku hanya membeli sehelai telekung solat sahaja.
Dalam perjalanan balik..aku cuba melelapkan mata. Kenapalah mata ni tak sporting. Tak nak tido... puas ku pejam-pejamkan tapi air mata yang keluar. Ya Allah...peringatan apakah ini ???
Kami berhenti solat Asar di hentian tol Lanchang. Tanpa dapat ku tahan lagi...aku menangis semahu-mahunya di bahu suamiku. Buat pertama kali aku menangis begitu di hadapannya setelah 10 tahun kami bersama.
Bagaimana hendak ku jelaskan pada emak ?? Sedangkan selama ini aku merahsiakannya. Bagaimana keadaannya nanti....kasihan anak-anak yang masih kecil. Kuatkah abang untuk menempuh semua ini ??
Aku menangis dan menangis...dengan harapan balik ke rumah nanti aku boleh berlakon seperti tiada apa-apa.
Ya..aku berjaya..bila mak tanya aku hanya menjawab dr. suruh masuk wad minggu depan..tanpa menjelaskan apa-apa. Biarlah..aku perlu menunggu masa yang sesuai untuk bercerita.
Begitulah.....ibarat traffic light..jika dulu yang hijau sudah bertukar kuning. Kini...yang kuning sudah mula berkelip-kelip. Aku cuba positif..betapa Tuhan mendengar bisikan hatiku selama ini.
Pernah terlintas dihatiku...jika sudah sampai masa untuk aku pergi......Ya Allah..berilah sedikit signal agar aku bersedia. Terlalu banyak kes-kes kematian mengejut...aku tidak mahu begitu. Bimbang nyawaku ditarik tatkala aku sedang lalai ..aku ingin pergi dalam keadaan mulia. Mulia di sisiMu Ya Allah..setelah kau ampunkan semua dosa-dosaku.
Maka....anggaplah khabar dari Putrajaya ini satu signal.
Signal dari Tuhan...agar aku bersedia. Mungkin juga sebagai teguran buat diriku yang lalai. Lulusan Pengajian Islam ...tetapi amal ibadat seperti budak sekolah agama rakyat !!!
Ya Allah..malunya aku kepadaMu...astaghfirullahal'azim.
cerita yang banyak memberi kesedaran...terutama tentang ayat 'amal ibadat seperti budak sekolah agama rakyat'.
BalasPadamhuhu, dapat buatkan saya muhasabah diri saya sendiri...
sesungguhnya nikmat di dunia ini hanyalah seperti sedikit madu di hujung jari...sedapnyer sehingga kita terlupa pada maut yang sentiasa menanti dan kehidupan akhirat yg misteri. saling mendoakan sesama muslim,insyallah, para malaikat akan mendoakan untuk kita pula...
~ikhlas dari blogger 'rawatankanser2013', pengalaman sebenar dari seorang jururawat pelatih.
pemunya blok ini tlh kembali bertemu penciptanya Allah SWT pd 13.11.2014
BalasPadampemunya blok ini tlh kembali bertemu penciptanya Allah SWT pd 13.11.2014
BalasPadam